Saturday, 24 March 2012

Kisah Hijab


“Ustazah nak tanya, siapa yang tak pakai tudung bila keluar rumah waktu cuti yang lepas? Tolong mengaku dengan jujur,” lantang suara Ustazah Siti (bukan nama sebenar) menyebabkan seluruh pelajar perempuan di dalam kelas Tingkatan 1 At-Tirmizi tertunduk.

“Nasib baik aku pakai,” bisik hatiku kelegaan. Aku pasti ramai di kalangan rakan sekelasku yang keluar tanpa bertudung, malah ada yang berbangga bercerita setiap kali balik bercuti pengalaman membuka tudung dan terserempak dengan guru-guru di bandar tanpa bertudung.

“Cepat mengaku!” muka menyinga dan tegas suara Ustazah Siti mengecutkan perut sebahagian besar isi kelas.

Ku lihat Kartina (bukan nama sebenar) mengangkat tangannya perlahan-lahan, teragak-agak. Kagum aku dengan kejujuran Kartina, berani sungguh! “Hm, kamu pergi mana tak pakai tudung?” tanya Ustazah Siti keras. “Bandar,” ringkas jawapan Kartina.

Secepat kilat ku lihat Ustazah Siti merentap mini telekung di kepala Kartina. Hanya tinggal anak tudung yang membaluti sebahagian kepalanya. Aku terkejut, terkedu, terkaku. Semua pelajar lelaki yang duduk di bahagian hadapan tertunduk spontan. Kartina sudah mula teresak-esak sambil tangannya menahan kepalanya. Mini telekung nya terdampar di lantai simen kelas. Kelas senyap seketika, hanya terdengar esakan kecil Kartina dan dengusan Ustazah Siti.

“Kenapa menangis? Malu ke?” soal Ustazah Siti lagi. Kartina masih teresak kecil tanpa menjawab. “Tahu pun malu. Kat sini malu, kenapa pergi bandar tak pakai tudung tak malu?” keras suara Ustazah Siti menyoal, mukanya bengis. “Kamu tahu menutup aurat wajib hukumnya, kenapa tak malu dengan Tuhan?”

Sehingga habis masa kelas kami mendengar ceramah dan leteran Ustazah Siti tentang tudung. Sungguhpun aku merasakan tindakan Ustazah Siti amat keras dan sukar ku terima, namun aku belajar sesuatu hari itu, jangan sesekali meninggalkan tudung apabila keluar rumah. Baru hukuman dunia yang memalukan, belum lagi hukuman di akhirat.

Tangga Perubahan

Di SEMEKAS lah bermula kesedaran saya tentang aurat. Pada peringkat awalnya, saya memahami menutup aurat sebagai menutup kepala apabila keluar dari rumah. Tak kisah dengan apa, dengan tudung kecil, anak tudung, topi dan tuala (tidak termasuk tudung saji dan tudung periuk).

Bila usia saya menginjak ke 14 tahun, Kak Long memberitahu saya, tudung yang dipakai harus dilabuhkan menutupi dada dan baju hendaklah longgar dan berlengan panjang. Tudung juga harus dipakai apabila lelaki ajnabi datang ke rumah. Saya akur dan mula mengikutinya berdikit-dikit.

Pada usia 15 tahun, kesedaran saya bertambah lagi setelah membaca sebuah buku berkenaan aurat. Saya baru mengetahui bahawa aurat wanita itu adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

“Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud).”

Ketika itu, sungguhpun saya bersekolah di sebuah sekolah menengah kebangsaan agama, saya merasa sangat sukar untuk menyempurnakan penutupan aurat saya iaitu menutup kedua belah kaki dengan berstoking. Namun, saya kuatkan hati kerana saya berazam benar-benar ingin menutup aurat sesempurnanya.

Alhamdulillah, kembara penutupan aurat saya berterusan apabila di tingkatan empat, Ustazah Maudah memberitahu saya bahawa suara wanita jika dilunak dan dimerdukan juga adalah aurat. Setelah mengetahui fakta tersebut, saya kemudian bersara daripada menjadi vokalis kumpulan nasyid kelas saya (rasa macam artis pulak…)

Semakin meningkat usia, semakin banyak buku yang diuliti dan difahami, semakin banyak perkara baru berkenaan aurat saya pelajari. Saya belajar tentang had aurat, batas aurat, mahram, tabarruj, pergaulan dan keadaan di mana had aurat diringankan. Hingga kini saya masih dalam proses pembelajaran yang akan berterusan sampai bila-bila.

Apa yang ingin saya sampaikan ialah, setiap orang pasti mempunyai ilmu yang berbeza tentang menutup aurat dan untuk melakukan perubahan yang sedikit bukanlah mudah!

Ada orang mungkin telah dididik menutup aurat sejak kecil terutamanya jika dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang mengamalkan Islam sepenuhnya. Ada pula yang telah diterangkan dengan terperinci tentang aurat sejak peringkat pra-sekolah lagi. Ada juga yang baru mengetahuinya di sekolah menengah ketika usia baru menginjak akil baligh. Tak kurang pula yang faham tentang aurat hanya setelah menjejaki IPT atau alam pekerjaan.

Memang tidak dinafikan, sebahagian besar remaja kini sudah tahu apa hukum dan batas aurat. Lebih-lebih lagi dengan berkembangnya media massa dan teknologi maklumat. Tidak kurang juga yang memang sudah berilmu dan faham tetapi tidak mempunyai kesediaan (mungkin disebabkan persekitaran, keluarga, teman-teman dan konflik dalam diri). Tetapi bagaimanakah dengan mereka yang benar-benar jahil dan mereka yang keliru terutamanya disebabkan sikap songsang ikon masa kini yang bertudung? Bagaimana cara terbaik memberitahu dan mendidik mereka tentang aurat? Adakah dengan menuding jari, mengumpat, mencebik bibir, menjeling pandangan seolah-olah aurat kita telah sempurna tertutup dan hati kita cukup bersih? Dengan kata lain…macam bagus…

Persoalannya, bagaimana cara terbaik mengajak orang menutup aurat?

Dari Abi Said Al-Khudri katanya; Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Jika ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Menunjukkan contoh yang baik

Ibda’ binafsik…mulakan dari diri sendiri. Sempurnakanlah aurat diri, mudah-mudahan menjadi role model bagi teman-teman di sekeliling kita. Jika dulu, pakaian menutup aurat hanya sinonim dengan ustazah, kini dengan membuktikan bahawa pakaian menutup aurat sesuai dalam semua profesyen dan aktiviti (aktiviti yang sihat je lah….bukannya pergi melalak dan melompat kat pentas akademi), mudah-mudahan ia menjadi ikutan bagi orang yang dekat dengan kita. Buktikan juga dengan bertudung akhlak kita akan lebih terjaga serta pergaulan kita terpelihara.

Menggunakan tangan (authority)

Seperti dalam situasi di atas, Ustazah Siti telah menggunakan tangannya untuk menyuruh pelajar tingkatan 1 At-Tirmizi menutup aurat. (Jangan tiru aksi tersebut, agak ganas dan mungkin kurang sesuai di zaman sekarang). Di institusi pendidikan atau di pejabat kerajaan dan swasta, tindakan mewajibkan pemakaian tudung bagi pelajar/kakitangan perempuan beragama Islam di kawasan sekolah, IPT atau pejabat contohnya merupakan satu tindakan yang secara tidak langsung menggalakkan muslimah untuk menutup aurat. Tidak dinafikan dengan cara ini semakin bertambah kes tudung yang tertanggal di malam hari sepertimana yang berlaku di kolej matrikulasi saya dahulu, tetapi tak kurang juga yang kekal bertudung kerana penguatkuasaan tersebut.

Menggunakan lidah / mata pena

Bengkel menutup aurat merupakan contoh yang cukup terkenal dalam usaha mengajak muslimah menutup aurat. Penghasilan risalah, poster, artikel dan juga buku juga banyak menyumbang untuk membuka minda dan hati mad’u.

Memberi hadiah

Hadiahkan teman yang anda sayangi dengan tudung, pakaian menutup aurat atau buku berkenaan aurat. Siapa tahu, hatinya terbuka untuk berubah dengan pemberian anda.

Dakwah fardiyah (berbicara dari hati ke hati)

Jika hati kita telah dekat dengan seseorang, ia pasti menjadi satu jalan yang mudah untuk menasihatinya dengan berhikmah. Menangi jiwanya, mudah-mudahan senang kita telusuri hatinya dan mengajaknya ke arah perubahan positif.

Selemah-lemah iman

Tidak redha dengan pendedahan aurat biarpun dengan sekecil-kecil iman di hati dan sentiasa mendoakan agar mereka yang mendedahkan aurat itu berubah dan diberikan hidayah serta taufiq untuk memperbaiki penutupan aurat mereka. Teruskan berdoa..berdoa dan berdoa…semoga selemah-lemah iman ini dinilai dan dimakbulkan oleh-Nya.




p/s : Taken this article from Facebook

No comments:

Post a Comment

kesayangan

Bismillahirrahmanirrahim.. Allahumma solli ala Muhammad. .................................... Petang yang damai ditemani Lautan bir...