Merentas Masa Hidupku

Daisypath Happy Birthday tickers

Tuesday 27 December 2011

ujian itu dugaan dan hadiah dari Allah


Bismillahirrahmanirrahim...


Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Al Ankabuut 2.
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini. Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.
Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.
Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Al Baqarah 286.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan.
Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.
Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.
Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat atau lemah, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan. Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya.
Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!
♥: Bila tubuhmu lesu dan hilang semangat.. ALLAH tahu betapa kamu telah mncuba sedaya upaya.. :♥: Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan.. ALLAH telah mengira setiap titis air matamu.. :♥: Bila dirimu telah terlanjur melakukan dosa.. ALLAH sentiasa menunggu taubatmu.. :♥: Bila kau telah mencuba segalanya t...etapi masih tak berhasil.. ALLAH mengumpulkan segalanya untuk satu saat yang tak terduga.. :♥:Bila hatimu telah mengecapi kemanisan iman.. ALLAH telah berada hampir padamu untuk kurniakan kejayaan hakiki.. Hidup ini indah jika bersama ALLAH ^_^

Thursday 22 December 2011

Berakhirnya sebuah pertemuan


Bismillahirrahmanirrahim...


Kringggg!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat baru bermula. Pelajar-pelajar lain sudah  keluar dari kelas masing-masing dan mula membanjiri kawasan kantin sekolah.

Irna hanya mampu menenangkan sahabatnya di sebelah. Dia tahu betapa menderitanya sahabat baiknya itu, namun sebagai insan biasa dia tidak berdaya memberikan bantuan. Hanya sokongan dan semangat yang mampu dihulurkan kepada insan setabah sahabatnya.

"Iman, jom kita pergi kantin. Iman makan sikit. Nanti Iman kena makan ubat," pujuk Irna walaupun dia tahu sahabatnya itu akan
  menolak. Muka Iman yang pucat lesi ibarat tidak berdarah itu menggigit tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak kuat melihat keadaan sahabatnya sebegitu. Tanpa disedari kolam matanya pecah juga. Ada tangisan halus yang mengiringi air mata tersebut.

"Irna, kenapa ni? Janganlah menangis. Iman tak nak kawan-kawan Iman menangis sebab Iman. Lebih-lebih lagi Irna, sahabat baik Iman dunia akhirat, Insya-Allah," hati Iman bergetar menahan sendu yang berlabuh. Dia tahu perasaan Irna tika itu, namun sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia fana ini, dia akur dan pasrah atas segala takdir.

***********

Perkenalan mereka semenjak minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru membuahkan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini. Mereka amat serasi bersama memandangkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Hidup yang suram gara-gara terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga akhirnya diwarnakan dengan suka duka dalam bersahabat. Iman dan Irna sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan mereka berdua.

Ramai kawan mereka kagum melihat persahabatan mereka berdua. Keakraban mereka yang boleh diibaratkan sebagai isi dengan kuku itu menyebabkan ramai yang menggelar mereka sebagai adik beradik. Segala susah senang, sakit perit mereka dirasakan bersama. Andai salah seorang daripada mereka sakit, seorang lagi akan turut sakit menahan sebak di hati.

Irna termenung lagi. Sejak akhir-akhir ini dia semakin bimbang akan kesihatan Iman. Jika dahulu sahabatnya itu seorang yang ceria, kini segalanya seakan berubah. Walaupun ada senyuman yang terukir di bibir Iman, dia tahu segala derita yang ada di sebaliknya. Dia cuba berlagak tenang dan kuat ketika berhadapan dengan Iman tetapi jauh di lubuk hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

"Iman, tadi Cikgu Athirah ada pesan, kalau Iman sakit, jangan paksa diri pergi kelas, kalau ada apa-apa berlaku susah. Irna tak nak something happen kat Iman," kata-katanya hanya dijawab dengan pandangan mata Iman. Seperti biasa Iman hanya membiarkan bibirnya dihiasi dengan senyuman ikhlas yang selalu diukirkannya.

"Irna, insya-Allah, Iman pun tak nak something bad happen, tapi kita kena ingat, walau apapun yang telah berlaku atau yang akan berlaku, segalanya datang daripada Allah. Kita kena terima dan redha," nafasnya ditarik perlahan sebelum kembali berkata-kata.

"Irna, maafkan Iman ya, sebab dalam tempoh setahun ni Iman banyak menyusahkan Irna, dan terima kasih jugak sebab Irna selalu ada di sisi Iman. Jasa dan pertolongan Irna selama ni mungkin Iman tak sempat nak balas, hanya.."

"Iman, janganlah cakap macam ni. Iman tak menyusahkan Irna pun," Irna pantas memintas kata-kata sahabatnya itu. Dia tidak sanggup untuk mendengar bait-bait kata yang ingin disampaikan oleh Iman.

 ***********

Seperti biasa keluarga Iman akan datang melawat pada hujung minggu. Irna pula akan menemani Iman. Hubungan Irna dengan keluarga Iman juga semakin baik hari demi hari. Ibu dan ayah Iman sangat berterima kasih kepada Irna kerana telah banyak menolong dan memberikan kata-kata semangat kepada anak perempuan tunggal mereka. Hati ibu mana yang tidak sebak apabila melihat penderitaan si anak. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menjaga Iman sepenuh masa tetapi dia tidak berdaya. Memandangkan Iman bersekolah di sekolah berasrama, mereka sekeluarga pasrah. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya Iman mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Irna.

"Iman, Iman dengar cakap ibu sayang," ada titis air di tubir mata ibunya.

"Iman mesti jaga diri Iman baik-baik tau. Ubat tu mesti makan. Kalau Iman sakit, beritahu ibu, beritahu warden. Kalau boleh ibu nak sangat jaga Iman. Ibu sedih tengok anak ibu tanggung sakit sorang-sorang," pelukan dieratkan diiringi dengan tangisan yang berpanjangan. Irna yang tidak dapat menahan kesedihannya juga turut menitiskan air mata . Begitu juga dengan ayah dan adik-beradiknya.

"Ibu, insya-Allah, Iman akan dengar nasihat ibu tapi ibu kena janji dengan Iman. Ibu janganlah nangis. Iman tak sanggup tengok ibu nangis sebab Iman. Ayah, jaga ibu baik-baik. Jangan bagi ibu lemah semangat, boleh ayah? Ibu?" ibu dan ayahnya hanya mampu mengangguk lemah.

"Irna, terima kasih atas segala-galanya. Ibu harap Irna boleh tolong tengok-tengokkan anak ibu. Kalau ada apa-apa berlaku, tolong beritahu ibu ye," Irna mengangguk perlahan seraya tunduk menyalami tangan milik ibu Iman. Hubungan yang baik antara mereka menyebabkan ibu Iman tidak segan membahasakan dirinya sebagai ibu dengan Irna.

*****************

"Iman, kenapa ni? Iman sakit lagi ke?" Irna semakin risau melihat keadaan Iman yang semakin teruk. Dia mula hairan dan bimbang jika ada sesuatu yang akan menimpa Iman.

"Iman, jom kita pergi hospital. Irna tengok Iman dah teruk ni, selalu je sakit kepala, muntah-muntah, kita pergi hospital ok?" Irna sudah tidak mampu berlembut dengan Iman. Sudah banyak kali dia cuba memujuk Iman untuk pergi ke hospital. Namun jawapannya tetap sama.

"Irna, Iman okeylah. Cuma sakit kepala biasa je ni. Nanti lepas makan panadol okeylah," Iman hanya senyum segaris.

"Tak boleh. Hari ni Iman kena dengar juga cakap Irna. Kita mesti pergi hospital hari ni. Iman tunggu sekejap. Irna nak inform
  kat warden," pandangan Iman mengiringi langkah sahabatnya.

"Dah lama ke sakit ni?" doktor di hadapan memulakan bicara sambil mencatat sesuatu dalam buku laporan kesihatan.

"Ermm, agak lama jugak la, tapi dulu tak sakit macam ni. Sekarang ni sakit sangat-sangat. Kadang-kadang tak boleh nak tahan," Irna menggengam erat tangan sahabatnya. Dia berdoa agar tiada perkara buruk yang akan berlaku.

"Selera makan macam mana? Okey?"

"Entahlah doktor tapi sekarang ni memang tak boleh makan sangat, selalu je tak ada selera," doktor mengangguk perlahan sambil meneruskan catatan.

"Ermm doktor, maaf mencelah, tapi saya nak tahu kenapa hidung Iman berdarah. Kadang-kadang gusi pun sama," doktor mula memandang Iman.

"Kita buat blood test dulu, nanti kita tengok macam mana," Iman dan Irna saling berpandangan. Mereka mula merasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena.

**************


"Iman, saya harap Iman akan bersabar, mungkin apa yang bakal saya sampaikan terlalu susah untuk diterima, tapi saya yakin Iman seorang yang kuat,"

Berita yang disampaikan oleh doktor agar sukar untuk diterima. Sudah kering air matanya mengenangkan perkara tersebut. Namun, dia beristighfar panjang. Iman sedar segalanya telah ditentukan oleh Allah Pencipta Alam. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Akhirnya dia redha atas segala-galanya.

"Hasil dari blood test yang telah dibuat, saya dapati Iman menghidap penyakit leukemia," Iman dan Irna sangat terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Bagaikan hendak luruh jantung mereka. Iman hanya mampu memandang Irna dengan pandangan kosong yang sukar untuk ditafsirkan.

"Pada mulanya saya ingatkan result tu salah. So saya dah buat test tu 2 kali dan hasilnya memang positif. Saya harap Iman banyakkan bersabar ya," doktor itu dapat melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka. Lidah mereka juga kelu untuk berbicara, mungkin masih terkejut dengan berita yang diterima.

"Penyakit ni dah peringkat kedua, dan mungkin kejam kalau saya cakap penyakit Iman ni dah nak sampai peringkat ketiga,"

"Kalau kita dapat kesan dari awal-awal, mungkin sempat untuk kita berikhtiar. Iman akan selamat kalau ada sum-sum tulang yang sesuai, tapi sekarang ni, agak susah untuk kita dapatkan sum-sum tulang yang sesuai, tapi insya-Allah, tak mustahil untuk sesuatu berlaku jika diizinkan oleh Allah,"

"Iman, Iman!!" Irna hairan melihat Iman yang jauh termenung. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh sahabat baiknya itu. Setiap kali dia melihat wajah pucat Iman, pasti rasa sedih bertamu di hatinya. Sebagai hamba Allah yang lemah, dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu diberikan kekuatan dan dipanjangkan umur.

"Eh, Irna, maaflah, Iman tak perasan tadi," Iman tersedar. Dia tahu dia harus kembali ke alam nyata. Berita tentang penyakitnya yang diterima sejak hampir setahun yang lalu sering mengganggu ketenangannya. Bukan dia tidak menerima takdir Allah tapi dia takut. Dia takut untuk menghadapi sakaratul maut. Bagi dirinya, bila-bila masa sahaja Malaikat maut akan menjemputnya kembali kepada Yang Esa. Mungkin esok, minggu depan dan mungkin juga tahun hadapan. Memikirkan hal itu, dia dirundung kesedihan. Dia sedih kerana andainya telah ditakdirkan dia akan pergi dalam tempoh terdekat ini, dia sudah tidak dapat sujud kepada Allah Ta'ala, dia tidak lagi dapat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Dia juga takut apabila memikirkan adakah cukup amalannya selama ini untuk dihadapkan di hadapan Allah. "Ya Allah kau ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, dosa-dosaku, dosa seluruh ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin serta muslimat. Kau matikanlah aku dalam iman dan Islam," detik hatinya.

********************

"Assalamualaikum, Irna," hati Irna berdegup kencang sebaik sahaja menerima panggilan ibu Iman.

"Waalaikumussalam, ibu, kenapa ibu, Iman sakit ke?" Irna semakin gelisah apabila terdengar esakan halus dari corong telefon. Dia tahu ibu sedang menangis.

"Irna, boleh tak Irna datang ke rumah ibu sekarang. Iman, nazak,"

Irna segera bertolak ke rumah Iman bersama-sama kedua-dua ibu bapanya. Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan bertahun lamanya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Sedaya upaya dia menahan perasaan agar bersabar tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Dia masih ingat pandangan Iman sewaktu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula. Pandangan Iman tika itu memang sukar untuk dimengertikan. Hanya air mata duka yang mengiringi perpisahan mereka saat itu. Kata-kata maaf yang diungkapkan oleh Iman juga masih segar di ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat,"

Irna tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis lagi. Kata-kata Iman tempoh hari betul-betul mengganggu fikirannya.

*****************

"Assalamualaikum," dengan lemah salam diucapkan. Langkah Irna lemah tidak bermaya. Kedatangannya disambut dengan tangisan dan pelukan ibu Iman. Dia dapat merasakan betapa eratnya pelukan itu. Hatinya pedih, jantungnya pula seakan berhenti berdegup.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya apabila melihat seorang sahabat yang selama ini berkongsi susah senang dan suka duka bersamanya sedang terbujur kaku. Fikirannya ketika itu kosong. Bukan senang untuk menerima kenyataan itu. Kenyataan yang ternyata pahit untuk ditelan. Namun, dia pasrah dan redha dengan takdir Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman, dia mesti kuat dan bersabar menghadapi ujian hidup. Kata-kata arwah Iman kembali menerpa ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat."

"Insya-Allah Iman. Irna mesti kuat. Irna mesti tabah dan Irna pun sayangkan Iman. Sayang sangat-sangat," getus hatinya.

************

Arwah Iman sudahpun selamat dikebumikan. Perasaan sedih masih setia bertamu di hatinya. Dia masih ingat betapa susahnya untuk mencium dahi arwah Iman gara-gara air matanya yang tidak henti-henti mengalir. 'Sejuk'. Itulah yang dirasakannya  sewaktu mencium dahi arwah buat kali terakhir.

"Irna," dia tersedar dari lamunan. Ibu Iman di sebelah dipandang sayu. Apalah sangat kesedihannya jika dibandingkan dengan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Irna dapat melihat tubir mata ibu Iman masih digenangi air jernih.

"Ya ibu," tangan si ibu digengamnya seerat mungkin.

"Ibu jumpa surat ni atas meja arwah, untuk Irna," dalam sebak ibu Iman menuturkan kata-kata.

Tangannya terketar-ketar semasa membuka lipatan surat itu. Surat terakhir daripada seorang sahabat. Tanpa dapat ditahan, kolam matanya pecah lagi. Bagaikan baru semalam mereka dipertemukan, kenangan mereka bersama masih segar di ingatan.


Buat sahabatku Irna.

Assalamualaikum,

Iman bersyukur sangat-sangat sebab Allah telah mempertemukan kita, walaupun pertemuan kita hanya sekejap cuma tapi Iman tetap berterima kasih kepada Allah sebab melalui Irna, Iman berpeluang mengenali erti sahabat sejati Irna. Maafkan Iman atas segala kesilapan yang pernah Iman lakukan sepanjang persahabatan kita. Sebenarnya Iman pun dah tak tahu nak tulis apa. Kepala Iman sakit sangat ni tapi Iman tak nak tinggalkan Irna tanpa kata. Kalau boleh Iman nak sangat jumpa Irna. Takut nanti tak sempat. Mungkin sekarang ni Iman dah dipanggil menghadap Ilahi. Kalau boleh, Iman nak tengok Irna sebelum kita berpisah buat selama-lamanya tapi Iman juga nak minta maaf kalau Irna hanya sempat tengok jasad kaku Iman. Bukan Iman nak tapi ingatlah mati itu pasti bagi setiap manusia. Iman harap, Irna akan bersabar. Tolong doakan Iman di sana ye. Sebenarnya, Iman takut sangat Irna. Iman takut mati. Iman takut amalan Iman tak cukup tapi apakan daya Iman, Iman dah tak boleh nak buat apa kalau dah takdir Iman akan pergi dulu. Cuma Iman harap Irna teruskan impian kita untuk jadi wanita solehah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah ibadah dan perintah Allah selagi masa masih ada sebab kita tak tahu bila sebenarnya ajal maut kita. Ingatlah sahabatku, kematian tidak akan menunggu sehingga seseorang itu bersedia untuk menghadapinya.

Buat tatapan Irna, Iman sempat tuliskan lirik lagu nasyid yang kita suka. Hayatilah setiap bait kata-kata yang ada pada lirik ni. Akhir kata doakanlah Iman di sana. Wassalam.

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau nsanea rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman




Surat itu dilipat kembali. Matanya basah dengan air mata.

"Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," doanya di dalam hati.

"Semoga Syurga menjadi milikmu, sahabatku. Walaupun pertemuan kita di dunia fana ini telah berakhir, Irna berdoa agar kita dipertemukan kembali di Jannah-Nya. Amin."





UKHUWAH.....
"..TERLALU INDAH DIUNGKAPKAN DAN TERLALU MANIS PABILA DIHIASI DENGAN KASIH SAYANG KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN.. UKHUWAH.. TIDAK SEMUA MANUSIA MENGHARGAI SEBUAH UKHUWAH TERSEBUT..KEKADANG..KERANA SEBUAH UKHUWAH,AIR MATA SERING MENITIS KERANANYA.. UKHUWAH.. UKHUWAH ITU TERLALU BERERTI BUATKU YA ALLAH.... RAHMATILAH DAN REDHAILAH UKHUWAH KAMI.."

Wednesday 21 December 2011

Allah rindu mendengar rintihanmu berpanjangan


Bismillahirrahmanirrahim...

Buat sahabat-sahabat.. teman-teman..kawan-kawan..adik-adik yg d'kasihi Fillah. Kuatkanlah hatimu menempuh kehidupan ini. Semoga ujian yang dilalui mematangkan dirimu...


Yakin pada Allah bukanlah mengharapkan terkabulnya segala harapan. Yakin pada Allah adalah meletakkan keredhaan pada ketentuan-Nya... Rasa bahagia dengan ujian walaupun perit. Di situ air mata menitis terasa bernilai buat menyiram api neraka. Indahnya tarbiyyah Allah, tersirat rahmat & hikmah. Diuji kita sebagai tanda sayangnya... Bahagianya kekasih Allah dihadiahi ujian yang amat hebat sebagai tanda kasih-Nya. Takkan dibiarkan terlena dalam kenikmatan yang melimpah tetapi dilindungi dengan ujian & cubaan yang tak berkesudahan. Duhai sahabat, panjatkan kesyukuran kerana itu tanda sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.


"Ya Allah, sentuhkanlah hati sahabatku ini...Saat dia jauh dariMu, peluklah hatinya... Saat dia mencintai sesiapa lebih dariMu, peliharalah imannya selalu... Jadikan dia hamba yang banyak berdoa,beristighfar & menangis di depanMu agar diberi kekuatan & kesabaran kerana setiap sesuatu adalah datang dari-Mu..."


Semoga Allah memberimu PELANGI untuk setiap ujian, SENYUMAN untuk setiap tangisan, RAHMAT untuk setiap cubaan, KEKUATAN untuk setiap dugaan & MAKBUL untuk setiap doa.
Salam perjuangan buat semua sahabat! Kuatkan hati. Allah sentiasa bersamamu. BERUSAHA!

"La Tahzan Innallaha maa'ana.."


Wednesday 14 December 2011

'Ukasyah ibnu Muhsin dijanji syurga


Bismillahirrahmanirrahim...

Masjid penuh sesak dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Semua berkumpul setelah Bilal memanggil mereka dengan suara azan. Ada tarikan cinta di sana, kekasih yang baru saja sembuh, yang membuat semua sahabat tidak mahu melepaskan kesempatan ini untuk bertemu dengan kekasih Allah swt.
Setelah mengimami solat, nabi berdiri dengan segak di atas mimbar. Suaranya basah, menyampaikankan kata-kata puji dan kesyukuran kepada Allah yang Maha Pengasih. Suasana menjadi sunyi sepi, mulut para sahabat tertutup rapat, semua menajamkan pendengaran menuntaskan kerinduan pada suara Nabi. Semua menyiapkan hati, untuk disentuh serangkai hikmah. Selanjutnya Nabi bertanya.
“Duhai sahabat, kalian tahu umurku tidak akan lagi panjang, Siapakah di antara kalian yang pernah merasa teraniaya oleh si lemah ini, bangkitlah sekarang untuk mengambil kisas, jangan kau tunggu hingga kiamat menjelang, kerana sekarang itu lebih baik”.
Semua yang hadir terdiam, semua mata menatap penuh pada Nabi yang terlihat lemah. Tidak akan pernah ada dalam benak mereka perilaku Nabi yang terlihat janggal. Apapun yang dilakukan Nabi, selalu saja indah. Segala hal yang diperintahkannya, selalu membuihkan bening sari pati cinta. Tidak akan rela sampai bilapun, ada yang menyentuhnya meski hanya secuil jari kaki. Apapun akan digadaikan untuk membela Al-Musthafa.
Melihat semua yang terdiam, nabi mengulangi lagi ucapannya, kali ini suaranya terdengar lebih keras. Kelihatan para sahabat masih duduk dengan tenang. Hingga ucapan yang ketiga kali, seorang lelaki berdiri menuju Nabi. Dialah ‘Ukasyah Ibnu Muhsin.
“Ya Rasul Allah, Dulu aku pernah bersamamu di perang Badar. Untaku dan untamu berdampingan, dan aku pun menghampirimu agar dapat menciummu, duhai kekasih Allah, Saat itu engkau menghambatkan cambuk kepada untamu agar dapat berjalan lebih cepat, namun sesungguhnya engkau pukulanmu mengenai lambung samping ku” ucap ‘Ukasyah.
Mendengar ini Nabi pun menyuruh Bilal mengambil cambuk di rumah puteri kesayangannya, Fatimah. Kelihatan rasa keengganan menyelubungi Bilal, langkahnya terayun begitu berat, ingin sekali ia menolak perintah tersebut. Ia tidak ingin, cambuk yang dibawanya melecut tubuh kekasih yang baru saja sembuh. Namun ia juga tidak mahu mengecewakan Rasulullah. Sekembalinya Bilal, cambuk diserahkannya kepada Rasul mulia. Dengan cepat cambuk berpindah ke tangan ‘Ukasyah. Masjid seketika mendengung seperti sarang lebah.
Lantas melompatlah dua tokoh mulia dari barisan hadapan. Yang pertama berwajah sendu, janggutnya basah oleh air mata yang menderas sejak dari tadi, dia lah Abu Bakar. Dan yang kedua, tokoh pemberani, yang ditakuti para musuhnya di medan pertempuran, Nabi menyapanya sebagai Umar Ibn Khattab. Gementar mereka berkata:
“Hai ‘Ukasyah, pukullah kami berdua, sesuka yang engkau mahu. Pilihlah bahagian manapun yang paling kau ingin, kisaslah kami, jangan sekali-kali engkau pukul Rasul”
“Duduklah kalian sahabatku, Allah telah mengetahui kedudukan kalian”, Nabi memberi perintah secara tegas. Ke dua sahabat itu lemah longlai, langkahnya surut menuju tempat mereka semula. Mereka pandangi  ‘Ukasyah dengan pandangan memohon. ‘Ukasyah tidak berganjak sedikitpun.
Melihat Umar dan Abu Bakar duduk kembali, Ali bin Abi Thalib tidak tinggal diam. Berdirilah ia di depan ‘Ukasyah dengan berani.
“Hai hamba Allah, inilah aku yang masih hidup siap menggantikan kisas Rasul, inilah punggungku, ayunkan tanganmu sebanyak apapun, deralah aku”
“Allah Swt sesungguhnya tahu kedudukan dan niat mu duhai Ali, duduklah kembali” ungkap Nabi.
“Hai ‘Ukasyah, engkau tahu, kami adalah cucu Rasulullah, kami darah dagingnya, bukankah ketika engkau mencambuk kami, itu ertinya mengkisas Rasul juga”, kini yang tampil di depan U’kasyah adalah Hasan dan Husain. Tetapi sama seperti sebelumnya Nabi menegur mereka. “Duhai penyejuk mata, aku tahu kecintaan kalian kepadaku. Duduklah”.
Masjid kembali ditelan senyap. Ramai jantung yang berdegup kian cepat. Tidak terhitung yang menahan nafas. ‘Ukasyah tetap dengan pendirian menghadap Nabi. Kini tidak ada lagi yang berdiri ingin menghalangi ‘Ukasyah mengambil kisas. “Wahai ‘Ukasyah, jika kau tetap berhasrat mengambil kisas, inilah Ragaku,” Nabi selangkah maju mendekatinya.
“Ya Rasul Allah, saat Engkau mencambukku, tidak ada sehelai kainpun yang menghalangi pukulan cambuk itu”. Tanpa berbicara, Nabi langsung melepaskan ghamisnya yang telah memudar. Dan tersingkaplah tubuh suci Rasulullah. Seketika pekik takbir menggema, semua yang hadir menangis pedih.
Melihat tegap badan manusia yang di maksum itu, ‘Ukasyah langsung menanggalkan cambuk dan berhambur ke tubuh Nabi. Sepenuh cinta direngkuhnya Nabi, sepuas keinginannya ia ciumi punggung Nabi begitu mesra. Gumpalan kerinduan yang mengkristal kepada beliau, dia tumpahkan saat itu. ‘Ukasyah menangis gembira, ‘Ukasyah bertasbih memuji Allah, ‘Ukasyah berteriak haru, gementar bibirnya berucap sendu, “Tebusanmu, jiwaku ya Rasul Allah, siapakah yang sampai hati mengkisas manusia indah sepertimu. Aku hanya berharap tubuhku melekat dengan tubuhmu hingga Allah dengan keistimewaan ini menjagaku dari sentuhan api neraka”.
Dengan tersenyum, Nabi berkata: “Ketahuilah duhai manusia, sesiapa yang ingin melihat penduduk syurga, maka lihatlah lelaki ini”. ‘Ukasyah langsung tersungkur dan bersujud memuji Allah. Sedangkan yang lain berebut mencium ‘Ukasyah. Pekikan takbir menggema kembali. “Duhai, ‘Ukasyah berbahagialah engkau telah dijamin Nabi sedemikian pasti, bergembiralah engkau, kerana kelak engkau menjadi salah seorang yang menemani Rasul di syurga”.
Beruntunglah Engkau Ukasyah, Pencinta Kekasih Allah….
Ya Rasulullah Kami juga ingin mencium tangan dan pipimu dengan penuh kerinduan..

“Ketenangan jiwa itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang yang beriman supaya hati mereka teguh di kala orang mengalami kegoncangan, mereka yakin di kala orang lain penuh keraguan, mereka sabar di kala orang berkeluh kesah dan mereka berlapang dada di kala ramai orang cemas..” 

Sunday 4 December 2011

buat insan bergelar rijaL


Bismillahirrahmanirrahim...
BUAT INSAN BERNAMA RIJAL...jua kutujukan kepada bakal zauj ku yang masih menjadi rahsia ALLAH..
Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja dan memandang wanita,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah

TAKDIR DAN REDHA

Bismillahirrahmanirrahim..   Bertemankan sebuah buku, aku berjalan sendirian di tepian pantai. Bayu angin petang itu terasa nyaman sekali. I...